Program Kesejahteraan Staf : Wellness Walkabouts (Siri 2) kali ini diadakan pada 13 Oktober 2023 (Jumaat) bertempat di Sungai Bunus, Kuala Lumpur. Seramai enam (6) orang staf sokongan dan dua (2) orang Pustakawan Kanan telah mengikuti program tersebut. Program ini bermula seawal jam 8 pagi dengan empat (4) aktiviti utama iaitu senaman ergonomik, Program BookTalk@Library (Siri 13), brisk walk dan sesi kudah (kutip sampah sambil riadah).

Program ini adalah anjuran bersama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Green Office Committee dan Kelab Keluarga Staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur.

Program BookTalk@Library (Siri 13) turut dijalankan bersama-sama dua (2) orang pengulas yang terdiri daripada staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur iaitu Ahmad Khairu Mahfuz Bin Mamat dan Murugan A/L Angasamy.

Perkongsian dimulakan oleh Ahmad Khairu Mahfuz Bin Mamat yang memilih buku berjudul Projek Lavendar – 22 Kisah Pejuang Kanser Yang Cekal Melawan yang ditulis oleh Norsa’adah Ahmad dan Dr. Noor Hayati Yasmin Nga Timin. Menurut beliau, buku ini mengisahkan pejuang pesakit kanser yang berjuang dalam melawan pelbagai jenis kanser yang mereka hidapi. Walaupun mereka menghidap penyakit yang dikatakan memiliki peluang yang tipis untuk sembuh, namun tidak mudah untuk mereka berputus asa. Mereka cekal melawan setiap hari, setiap langkah dan setiap detik kerana mereka mengetahui bahawa di belakang mereka ada keluarga yang menanti dan mereka bukan keseorangan. Masih ramai yang berjuang dalam melawan penyakit kanser ini.

 

Seterusnya adalah perkongsian dari Murugan A/L Angasamy yang memilih buku 5 Langkah Untuk Mengurus Obesiti hasil karya Anjali Arora. Buku ini menerangkan kepada pembaca mengenai obesiti dan perkara yang perlu difahami tentang obesiti di mana seringkali seseorang itu mengatakan bahawa dirinya obes tetapi pada masa yang sama tidak begitu faham secara mendalam mengenai masalah obesiti itu sendiri.

Menurut beliau lagi, kebanyakan orang berusaha untuk mengawal dan mengurangkan tahap obesiti mereka, namun malangnya, seringkali tidak mendapat hasil yang dimahukan. Hal ini berpunca daripada penggunaan teknik diet yang salah serta tidak mengikut corak pemakanan yang betul untuk orang yang sedang cuba menguruskan badan.

Buku ini mampu membantu para pembaca untuk mendapat hasil yang maksimum melalui kawalan yang betul serta membantu membuat kawalan berat badan melalui senaman yang tepat.

Program selesai pada jam 11 pagi dan semoga program ini memberi nafas baharu kepada staf untuk lebih bermotivasi melaksanakan kerja harian.

Share this :