Program BookSharing Perpustakaan UTM Kuala Lumpur Siri 2 yang diadakan pada Khamis, 7 Mac 2024 telah menjemput dua (2) orang panel iaitu Puan Nurfarah Athirah Abdullah Sidek dan Encik Muhammad Al-Hakim Naziruddin. Kedua-dua panel ini merupakan Guru Bahasa dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan. Puan Nurfarah Athirah Abdullah Sidek dan Encik Muhammad Al-Hakim Naziruddin merupakan panel yang pernah terlibat dalam program BookSharing sebelum ini, dan kini mereka turut serta kembali pada siri kedua. Dengan pengalaman dan minat mereka terhadap ilmu bahasa dan pembacaan, diharapkan perkongsian mereka dapat memberi manfaat serta inspirasi kepada para peserta dan terus memupuk budaya membaca di kalangan komuniti universiti.
Puan Sharifah Radhiah Syed Azman selaku moderator, telah menjemput Puan Nurfarah Athirah Abdullah Sidek untuk memulakan perkongsian. Beliau telah memilih buku The Boy, the Mole, the Fox, and the Horse yang ditulis oleh Charlie Mackesy sebagai bahan perkongsian untuk program kali ini. Menurut beliau, buku ini dikenali dengan format ilustrasi yang menarik dan gaya penceritaan yang bersahaja. Seterusnya, buku ini telah dipilih kerana ia sesuai untuk semua peringkat umur dalam masyarakat, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. Penggunaan bahasa yang mudah difahami dalam buku ini bersama dengan ilustrasi menarik dapat menarik minat pembaca dari pelbagai lapisan masyarakat. Pengulas turut menyatakan keputusan untuk memilih buku yang mempunyai daya tarikan yang luas dan mudah difahami adalah penting dalam merangsang minat membaca serta membolehkan pembaca dari pelbagai lapisan masyarakat mendapat manfaat dari perkongsian.
Berdasarkan dari penerangan beliau, buku ini juga telah diadaptasi menjadi filem pada tahun 2022. Buku ini mempamerkan empat (4) karakter utama iaitu kanak-kanak lelaki, tikus tanah, musang, dan kuda. Ringkasnya, ianya mengisahkan pengembaraan kanak-kanak lelaki yang dibantu oleh tiga (3) karakter haiwan tersebut dalam usahanya mencari rumah. Kanak-kanak lelaki tersebut bertemu dengan ketiga-tiga haiwan ini di sepanjang perjalanannya. Selama pengembaraannya, kanak-kanak lelaki itu diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji daya ketabahan dan kekuatan emosinya. Kehadiran ketiga-tiga karakter haiwan ini dalam perjalanan kanak-kanak lelaki ini telah mempamerkan nilai-nilai murni seperti persahabatan yang akrab adalah dengan menerima kebaikan dan kelamahan orang lain, kesetiaan, keberanian, serta kebaikan hati.
Panel menutup perkongsian dengan mencadangkan beberapa judul buku yang memiliki tema yang serupa dengan The Boy, the Mole, the Fox, and the Horse, seperti The Little Prince, Noticing, dan How to Be a Good Creature. Panel memberikan penilaian lima (5) bintang untuk buku tersebut, dimana beliau menyatakan pendapat terhadap kualiti dan jalan cerita yang disampaikan dalam buku tersebut.
Seterusnya, panel menjemput panel kedua iaitu Encik Muhammad Al-Hakim Naziruddin bagi meneruskan sesi perkongsian pada program ini. Beliau memilih buku 20代にしておきたい17のこと (17 Perkara Harus dibuat ketika umur 20-an) yang ditulis oleh Ken Honda. Beliau menyatakan bahawa jarang sekali beliau membaca buku selain buku Jepun, dan buku ini menurutnya menarik untuk dikongsikan bersama penonton, terutamanya pelajar beliau yang mempunyai lingkungan umur di bawah 20-an. Walaupun beliau menyifatkan buku ini sebagai agak outdated kerana diterbitkan pada tahun 2010, namun menurut beliau, isi kandungannya masih relevan dan dapat dipraktikkan.
Namun begitu, beliau mengatakan buku ini sesuai untuk mereka yang merasa down dan ingin memotivasi diri sendiri. Beberapa perkara yang perlu dilakukan termasuk melakukan kesalahan besar dalam hidup, kerana menurutnya, pada usia awal 20-an, bebanan hidup masih relatif lebih ringan jika dibandingkan dengan usia 30-an dan 40-an. Selain itu, beliau menekankan bahawa pada usia ini, tidak perlu takut untuk melakukan kesalahan dan masih ada banyak waktu untuk memperbaikinya. Seterusnya, beliau menyarankan agar pada usia 20-an ini, individu harus keluar dan mencari pengalaman terbaik dengan menjelajahi dunia luar dan memilih bidang yang diminati. Ini kerana arah tuju hidup seseorang juga sangat dipengaruhi oleh persekitaran dan orang-orang di sekelilingnya.
Beliau merumuskan bahawa buku ini mengajak kita untuk mencari pengalaman sebanyak mungkin pada usia 20-an, dan penting untuk tidak takut akan kegagalan kerana ketakutan itu akan menyebabkan kita untuk takut mencuba hal baru dan akhirnya akan menyebabkan kurangnya kejayaan dalam hidup.