Program BookSharing @UTMKL 2024/Siri 10 telah diadakan pada Khamis, 8 Ogos 2024. Dua orang penyampai telah dijemput untuk berkongsi dengan para penonton mengenai bahan bacaan mereka iaitu Ts. Wan Abdul Fattah Wan Abdullah, Penolong Juruukur Bahan, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan YM Tengku Diwana Raja Ahmad, Penolong Jurutera, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).
Program kali ini dikendalikan oleh moderator Puan Khairun Nadzrah Khalid, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur). Program dimulai dengan menjemput penyampai pertama iaitu Ts. Wan Abdul Fattah Wan Abdullah untuk memulakan perkongsian. Beliau memilih buku The Magis of Thinking Big yang ditulis oleh David J. Schwart.
Menurut beliau, buku ini bertemakan kejayaan adalah kemenangan. Di mana kejayaan membawa maksud banyak perkara yang hebat dan positif terjadi dalam diri seseorang individu. Menyedari bahawa dugaan masa kini banyak, beliau mengatakan perlunya kita untuk berfikir dengan baik untuk memastikan kejayaan yang cemerlang dan gemilang. Kejayaan yang boleh menimbulkan hormat orang lain terhadap kita adalah apabila boleh memimpin dalam arena perniagaan dan sosial dan bebas dari kegagalan juga bebas dari perasaan yang negatif seperti bimbang, kecewa dan lain-lain.
Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau mencadangkan setiap orang membaca buku ini kerana ia mengandungi idea-idea yang praktikal, teknik dan prinsip yang memanfaatkan kuasa berfikir. Dengan demikian, kita berupaya meraih kejayaan, kebahagiaan dan kepuasan hidup yang kita idamkan.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari YM Tengku Diwana Raja Ahmad yang memilih buku Kembara Emas Anak Muda, penulisan dari Azim Aliif. Menurut beliau, pelaburan perlu dilakukan pada usia muda kerana tiadanya komitmen yang berat perlu ditanggung. Tertarik dengan slogan yang terdapat di dalam buku ini iaitu ‘ada duit belum tentu ada emas, ada emas sudah tentu ada duit’. Menurut beliau, duit mengalir seperti air dan jika tersilap langkah akan binasalah diri. Tetapi tidak bagi emas kerana emas nilainya yang semakin meningkat dan susah untuk jatuh. Mengkategorikan emas sebagai aset beku, menurut beliau emas mampu melipat gandakan lagi keuntungan dan mengelakkan terjerumus kepada hutang. Dan kerana itulah, penulis mengambil langkah untuk menyimpan emas secara tetap dan melipat gandakan simpanan dengan lebih bijak.
Kesimpulannya, buku ini banyak memberikan ikhtibar tidak kira peringkat usia untuk memulakan langkah dalam membuat pelaburan atau tabungan emas ini. Bermulalah sekarang kerana ia mampu membantu kita di suatu masa yang mendatang.