14 Ogos 2024, Rabu – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) berbesar hati menerima kunjungan lawatan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Mengkibol, Kluang, Johor ke bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang berjumlah seramai 44 orang. Para pelawat terdiri daripada Pengawas Perpustakaan Sekolah dan ahli Persatuan Bahasa Melayu yang merangkumi para pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.
Lawatan ini bertujuan untuk para pelajar mendapatkan ilmu bagi meningkatkan penguasaan kemahiran murid dalam pelbagai aspek seperti aspek komunikasi, kepimpinan, pengurusan dan perkongsian bahan serta sumber. Petugas lawatan bagi sesi ini ialah Puan Norsyazwani binti Mohd Ariffin, Puan Suraya binti Jaapa, Encik Hasanul Manzar bin Ismail dan Puan Nur Fatin binti Mohamad bagi bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ).
Para pelawat terus dibawa ke Galerium UTM yang bertempat di aras 2, bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang menempatkan artifak-artifak sejak penubuhan awal UTM. Artifak-artifak ini pernah digunakan satu masa dahulu untuk proses pengajaran dan pembalajaran. Di sini, para pelawat dapat melihat bagaimana UTM beransur-ansur mempertingkatkan teknologinya sesuai dengan peredaran zaman bagi memberi kemudahan kepada para mahasiswa di samping mempercepatkan lagi proses kerja yang dahulunya mengambil masa yang lama. Contohnya rak menyimpan kad buku yang pernah digunakan oleh staf perpustakaan satu masa dahulu. Dengan bantuan sistem masakini yang lebih pantas, staf bertugas tidak lagi mengambil masa yang lama untuk memproses peminjaman bahan di Kaunter Sirkulasi.
Selesai sesi penerangan di Galerium UTM, pelawat turut dapat melihat koleksi jurnal dan majalah akademik yang terdapat di aras 2 di samping merasai sendiri suasana retro di ruangan tersebut kerana perpustakaan masih mengekalkan perabot-perabot antik yang telah digunakan sejak dari awal penubuhan perpustakaan sehinggalah sekarang.
Seterusnya, para pelawat dibawa melawat ke ruangan yang menempatkan fasiliti-fasiliti yang menjadi tumpuan mahasiswa. Antaranya ialah bilik karel untuk kegunaan mahasiswa yang mahukan suasana yang lebih provasi, Bilik Eksekutif yang digunakan sekiranya ada keperluan untuk perbincangan dari kalangan staf akademik mahupun pegawai-pegawai kanan UTM, bilik perbincangan yang menjadi tumpuan pengguna apabila musim peperiksaan semakin hampir, bilik seminar dan makmal komputer. Para pelawat juga dapat melihat inisiatif perpustakaan dalam menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif kepada mahasiswa dengan kewujudan Bilik 24 Jam yang membolehkan mahasiswa datang dan mengulangkaji pelajaran mahupun menyiapkan tugasan pada bila-bila masa saja. Bilik 24 jam yang turut disediakan pendingin hawa dan juga akses kepada internet bagi kemudahan pengguna.
Sesi lawatan ini tamat pada jam 1.30 petang dan diikuti oleh sesi penyampaian cenderahati yang telah disampaikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin kepada wakil sekolah. Sesi kuiz ringkas turut dijalankan sebelum para pelawat bersurai. Semoga lawatan ini dapat memberi inspirasi kepada para pelajar untuk berusaha dengan lebih gigih dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.