Pada 27 Mei 2025 (Selasa), Program Scholars Chapter Siri ke-3 kembali bersiaran secara langsung menerusi saluran Facebook dan YouTube Jabatan Perpustakaan UTM. Siri kali ini membincangkan sebuah buku biografi bertajuk “Nooh Gadot – Tokoh Pendakwah Tersohor Johor”.

Program ini menampilkan barisan panel jemputan yang berwibawa iaitu Dr. Mohd Nasir Masroom, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, dan En. Muhammad Ammar bin Abdullah, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Johor. Prof. Madya Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM telah dilantik sebagai moderator bagi sesi ini.

Buku “Nooh Gadot – Tokoh Pendakwah Tersohor Johor” merupakan sebuah karya biografi yang mengangkat kisah kehidupan, perjuangan, dan sumbangan besar Datuk Haji Nooh bin Gadot, seorang tokoh agama yang amat dihormati di Johor dan di seluruh Malaysia. Buku ini telah diterbitkan oleh Penerbit UTM Press.

Perbincangan dimulakan oleh Dr. Mohd Nasir Masroom yang menyorot keperibadian Datuk Nooh Gadot, penglibatan beliau dalam dunia dakwah di Johor, serta sumbangan besarnya yang sinonim dengan pembangunan Islam di negeri ini. Beliau turut menjelaskan mengapa tokoh ini dipilih sebagai subjek utama dalam penulisan buku tersebut dan bagaimana kisah hidupnya menjadi inspirasi.

Sementara itu, Ustaz Ammar berkongsi bahawa sebelum ini hanya terdapat satu penulisan yang menyentuh tentang Datuk Nooh, iaitu dalam buku “Tokoh Ulama Negeri Johor” yang diterbitkan sekitar 10 tahun lalu. Buku terbaru ini adalah satu-satunya penulisan lengkap yang benar-benar memberi fokus khusus kepada biografi dan legasi dakwah beliau.

Buku ini bukan sekadar biografi, malah turut menjadi catatan sejarah perkembangan dakwah Islam di Johor. Ia memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi bidang keagamaan dengan semangat juang, keikhlasan, dan hikmah. Buku ini juga membentuk kesedaran tentang kepentingan ilmu, adab, dan pendekatan berhemah dalam menyampaikan dakwah.

Kandungan buku ini mengupas latar belakang awal Datuk Haji Nooh Gadot, termasuk kehidupan keluarganya yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Sejak kecil, beliau telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap ilmu agama. Perjalanan ilmunya merangkumi pengajian di peringkat pondok sehinggalah ke luar negara, termasuk di Timur Tengah. Beliau mendalami pelbagai bidang seperti Fiqh, Tauhid, dan Tafsir, seterusnya memperoleh autoriti sebagai Mufti Johor dan pendakwah tersohor.

Gaya dakwah beliau yang sederhana, penuh hikmah, serta berlandaskan ilmu dan akhlak menjadi contoh kepada pendakwah masakini. Buku ini turut menyentuh cara beliau menangani isu-isu semasa masyarakat Islam dengan bijaksana dan penyelesaian yang berpandukan syarak.

Secara keseluruhan, buku “Nooh Gadot – Tokoh Pendakwah Tersohor Johor” wajar dijadikan rujukan oleh sesiapa sahaja yang ingin mengenali tokoh ulama tanah air serta menjadikan kisah perjuangan beliau sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan dan perjuangan dakwah.

Share this :