KUALA LUMPUR, 24 Jun 2025 – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur terus memperkukuh peranannya sebagai agen pembangunan komuniti dan pemangkin pendidikan sepanjang hayat melalui penganjuran Bengkel Fabrik Felt (Craft Felt) yang berlangsung di Library X-Change Hub, Aras 2, Bangunan Perpustakaan UTMKL.
Program ini merupakan inisiatif kolaboratif bersama Kolej Komuniti Selandar, yang bertindak sebagai rakan strategik tenaga pengajar dan fasilitator bengkel. Sinergi ini membuktikan komitmen institusi pendidikan tinggi dan teknikal untuk saling melengkapi dalam memperkasa komuniti dengan ilmu dan kemahiran yang relevan.
Selari dengan aspirasi Perpustakaan UTM sebagai pusat ilmu yang inklusif, pustakawan berperanan aktif bukan sahaja sebagai penyedia maklumat, malah sebagai pemudah cara kepada proses pembangunan komuniti. Bengkel ini dianjurkan dengan objektif untuk memberi pendedahan asas tentang fabrik felt sebagai seni kraf yang bernilai ekonomi, menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk kraf, serta menyokong pendidikan sepanjang hayat melalui pembelajaran tidak formal yang santai dan menyeronokkan.
Bengkel ini telah dihadiri oleh komuniti setempat dari kawasan Desa Rejang dan Sri Semarak, yang menunjukkan sambutan menggalakkan serta keterlibatan aktif sepanjang sesi berlangsung. Melalui pendekatan praktikal dan bimbingan langsung, peserta bukan sahaja berpeluang mempelajari kemahiran baharu, malah dapat melihat potensi kraf felt sebagai terapi kendiri serta alternatif penjanaan pendapatan. Hasil kreativiti mereka dibentangkan di akhir bengkel, menonjolkan kepelbagaian idea dan gaya rekaan yang menarik.
Selain itu, bengkel ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terutama SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 11: Komuniti dan Bandar Lestari, melalui penyediaan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat dan aktiviti kemasyarakatan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Program ini membuktikan bahawa perpustakaan bukan hanya berfungsi sebagai pusat rujukan ilmu, tetapi turut memainkan peranan aktif dalam memacu pembangunan komuniti yang inklusif, berkemahiran dan berdaya saing. Melalui bengkel seperti ini, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur menyokong agenda pendidikan sepanjang hayat, memberi nilai tambah kepada peserta melalui penguasaan kemahiran praktikal, serta menggalakkan kreativiti dan inovasi.
Kerjasama strategik bersama Kolej Komuniti Selandar turut memperkukuh elemen Sinergi di bawah inisiatif ISES UTM, di samping menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) khususnya SDG 4 dan SDG 11. Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan komitmen Perpustakaan UTM dalam memperluas akses ilmu, merapatkan jurang kemahiran, dan terus relevan sebagai pusat pembelajaran yang membina dan menyatukan komuniti pelbagai lapisan.