Pada 14 Mei 2025, satu inisiatif bermakna telah diusahakan oleh Jabatan Perpustakaan UTM dengan menyumbangkan bahan bacaan khas kepada anak-anak Orang Asli Termiar dan Semai di Hulu Kinta, Perak. Fokus utama sumbangan ini adalah untuk membantu anak-anak yang baru mula belajar membaca, sekaligus menyemai semangat cintakan ilmu sejak usia muda di kawasan pedalaman yang kurang mendapat perhatian.
Bahan bacaan tersebut diserahkan kepada Prof. Dr. Maketab bin Mohamed sebagai simbolik dan langkah kecil yang penuh makna dalam usaha memperkasakan pendidikan dalam kalangan komuniti Orang Asli. Pada 17 Mei 2025, sumbangan ini disampaikan secara rasmi di Kampung Tonggang, Hulu Kinta, Perak.
Peranan penting turut dimainkan oleh sukarelawan, Puan Lin Zainal dan Encik Mohammad Asri yang bertanggungjawab menggunakan bahan bacaan ini untuk melatih dan memastikan anak-anak Orang Asli Termiar serta Semai dapat membaca dengan baik dan berkeyakinan dengan kebolehan mereka.
Program ini merupakan usaha berterusan Jabatan Perpustakaan UTM dalam membawa ilmu pengetahuan ke kawasan luar bandar dan pedalaman. Walaupun kecil, usaha ini membawa impak besar dengan membuka pintu ilmu kepada generasi muda Orang Asli yang bakal menjadi pewaris masa depan bangsa dan negara.
Kerjasama yang jitu oleh pelbagai pihak membolehkan program ini berjalan dengan lancar dan membuktikan bahawa pendidikan adalah hak semua, tanpa mengira latar belakang. Semoga usaha murni ini terus menjadi inspirasi dan dapat diteruskan untuk menyemarakkan budaya membaca dan pembelajaran di seluruh pelosok negara.