Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah menganjurkan program bertajuk “Wacana Kecerdasan Digital (AI): Teknologi Pintar, Jiwa Beretika” pada Khamis, 30 Oktober 2025 bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk memberikan pemahaman yang mendalam mengenai realiti, aplikasi serta implikasi moral dan etika kecerdasan buatan (AI) kepada peserta, di samping memupuk kesedaran bahawa kemajuan teknologi perlu diimbangi dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.

Acara bermula dengan pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi, diikuti ketibaan tetamu kehormat yang terdiri daripada YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai bin Mohamed (Ahli Lembaga Pengarah Universiti), YBrs. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin (yang menjalankan fungsi sebagai Ketua Kampus UTM Kuala Lumpur), YBrs. Puan Khairulbahiyah binti Yaakub (Ketua Pustakawan UTM) serta Puan Nik Masriza Zakaria (Timbalan Ketua Pustakawan UTM Kuala Lumpur). Upacara perasmian diadakan pada jam 9.00 pagi oleh YBrs. Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin, disusuli dengan tayangan montaj sebagai simbolik pelancaran program.

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 200 orang peserta yang terdiri daripada warga UTM, serta komuniti luar, termasuk penduduk PPR Seri Semarak, pelajar sekolah dari SMK Padang Tembak dan SMK Sri Rampai, dan wakil daripada agensi kerajaan serta sektor swasta. Kehadiran pelbagai lapisan masyarakat ini menggambarkan usaha UTM dalam memperkukuh literasi digital yang inklusif dan beretika.

Program wacana ini terbahagi kepada dua sesi wacana dan satu sesi forum. Wacana pertama bertajuk “Realiti Kehidupan di Dunia AI” disampaikan oleh Prof. Dr. Ag. Asri bin Ag. Ibrahim, Ketua Pegawai Digital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menghuraikan bagaimana teknologi pintar telah meresap dalam kehidupan seharian dan menegaskan keperluan penggunaannya secara bertanggungjawab serta beretika.

Wacana kedua pula bertajuk “Etika di Sebalik Teknologi Pintar” yang disampaikan oleh Dr. Hazdalila Yais binti Haji Razali, Pensyarah, Jabatan Undang-undang Perubatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau mengupas kepentingan kerangka etika dan nilai kemanusiaan yang perlu dijadikan panduan dalam pembangunan serta penggunaan teknologi pintar agar kemajuan AI kekal berpusatkan manusia.

Kemuncak program ialah Forum bertajuk “Menjadi Bijak di Dunia Serba Pintar”, yang dipengerusikan oleh Ts. Dr. Rozzeta binti Dolah, Pensyarah, Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), UTM, bersama dua tokoh akademik berwibawa, iaitu Prof. Dr. Mohd Asyraf Zulkifley dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati binti Ahmad @ Salleh, Pengarah, Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (PIN), UTM & Pensyarah, Fakulti Kecerdasan Buatan (AI). Forum ini memberi pandangan holistik mengenai bagaimana individu dan organisasi dapat mengadaptasi, memanfaatkan dan membuat keputusan berhemat dalam ekosistem digital yang sentiasa berubah.

Ketika menjawab soalan peserta berkenaan penyalahgunaan AI dalam kehidupan seharian, Prof. Dr. Mohd Asyraf Zulkifley menjelaskan bahawa kadar “halusinasi” sistem AI seperti ChatGPT adalah sekitar 38%, yang bermakna sebahagian maklumat yang dihasilkan mungkin tidak tepat atau terhasil secara rekaan. Beliau menekankan bahawa manusia perlu menilai kesahihan data sebelum digunakan. Menyambung pandangan tersebut, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh menyatakan bahawa manusia tidak perlu takut AI menggantikan manusia, tetapi perlu bimbang jika manusia sendiri lupa untuk menjadi manusia.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada peserta. Ramai yang menyatakan wacana ini berjaya membuka minda tentang bagaimana AI harus digunakan dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan etika. Antara komen peserta:

“Program ini memberi kesedaran bahawa manusia harus mengawal teknologi, bukan dikawal olehnya.”

“Perbincangan panel sangat bermakna dan menyentuh aspek kemanusiaan dalam era digital.”

Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada panel jemputan pada jam 1.00 tengah hari. Penganjuran ini jelas menyerlahkan komitmen UTM untuk menyemai budaya ilmu yang seimbang antara teknologi dan kemanusiaan, sejajar dengan tema universiti “Menginovasi Penyelesaian Lestari” serta aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam membina masyarakat digital yang berakhlak, beretika dan berperikemanusiaan.

Share this :
UTM Open Day