Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Program Pages of Wisdom: Human Library bagi Siri 1/2025 pada 31 Oktober 2025 (Jumaat) bermula jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi bertempat di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Program ini menampilkan Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, mantan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai panel jemputan, manakala sesi ini dimoderasikan oleh Puan Khairulbahiyah binti Yaakub, Ketua Pustakawan UTM.

Program Human Library merupakan satu pendekatan perkongsian ilmu yang unik, di mana individu berpengalaman dijadikan sebagai “buku hidup” yang berkongsi kisah perjalanan kehidupan, nilai dan pengalaman sebenar secara langsung kepada peserta. Melalui pendekatan ini, peserta bukan sahaja memperoleh ilmu secara teori, malah mendapat inspirasi daripada pengalaman realistik yang sarat dengan pengajaran dan nilai kemanusiaan.

Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar merupakan tokoh akademik dalam bidang Kejuruteraan Awam yang disegani, dengan pengalaman lebih empat dekad dalam dunia pendidikan tinggi, penyelidikan dan pentadbiran universiti. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting di UTM sebelum dilantik sebagai Naib Canselor dari September 2013 hingga Ogos 2020, dan memainkan peranan signifikan dalam mengukuhkan kedudukan UTM sebagai universiti penyelidikan bertaraf global.

Dalam sesi perkongsian, Datuk Ir. Dr. Wahid menyingkap perjalanan awal pembentukan peribadi dan kematangan diri yang menjadi asas kepada hala tuju kehidupannya. Beliau menegaskan pentingnya menghargai pengorbanan ibu bapa sebagai nilai teras yang membentuk keperibadian serta memandu kejayaan seseorang anak. Beliau turut berkongsi tentang kepentingan memilih pergaulan yang baik dan membina gaya hidup berdisiplin sebagai asas kejayaan jangka panjang.

Moderator sesi turut mengulas sisi peribadi Datuk Ir. Dr. Wahid yang wajar dijadikan teladan, khususnya amalan beliau menghubungi ibunya setiap hari sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang. Menurut beliau, sikap memuliakan ibu bapa membawa keberkatan hidup, ketenangan jiwa dan kelapangan dalam setiap urusan.

Selain itu, Datuk Ir. Dr. Wahid turut berkongsi prinsip hidup yang sentiasa menjadi pegangan beliau, iaitu sentiasa berfikiran positif, berani mencuba perkara baharu serta melihat cabaran sebagai ruang pembelajaran, bukan halangan. Beliau juga menyatakan bahawa ayah menjadi sumber inspirasi utama dalam hidupnya, manakala ibu dan isteri merupakan tonggak kekuatan emosi dan semangat dalam perjalanan kerjaya beliau. Antara momen paling bermakna buat beliau adalah saat menerima amanah sebagai Naib Canselor UTM, suatu tanggungjawab besar yang diterima dengan penuh rendah diri dan rasa syukur.

Program Pages of Wisdom: Human Library ini bukan sahaja menjadi platform perkongsian ilmu, malah berfungsi sebagai ruang refleksi, inspirasi dan pembinaan jati diri dalam kalangan warga universiti. Jabatan Perpustakaan UTM berharap penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan sebagai wadah mendekatkan komuniti akademik dengan tokoh-tokoh inspirasi serta menyemai nilai kemanusiaan, kepimpinan dan kebijaksanaan dalam kalangan pelajar dan staf universiti.

Share this :
UTM Open Day