Pada 27 November 2025(khamis), Jabatan Perpustakaan UTM JB telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 6/2025 yang disiarkan secara dalam talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM pada jam 11.00 pagi sehingga 12.00 tengahari. Panel jemputan terdiri daripada dua pelajar latihan industri dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Perdana, Selangor, iaitu Ayu Nabillah binti Salihuddin dan Muhammad Arash Adha bin Abd Latiff. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Nas Rashidah binti Mohd Muztaza, Pustakawan dari Jabatan Perpustakaan UTM yang berperanan sebagai moderator.

Panel pertama, Ayu Nabillah binti Salihuddin mengulas buku Nirnama karya Hilal Asyraf yang diterbitkan pada tahun 2021. Kandungan buku Nirnama mengisahkan seorang pemuda yang hilang ingatan dan tidak mempunyai nama. Dia mengembara untuk mencari identiti sebenar sambil berhadapan dengan ancaman dan kuasa yang memburunya. Dalam perjalanan, dia bertemu kawan dan musuh, dan akhirnya mengetahui bahawa dirinya terlibat dalam konflik besar yang menentukan masa depan tanah Semenanjung. Kisah pendekar tanpa nama yang berjuang tanpa mengharap pujian sangat sesuai untuk anak muda hari ini, ditambah pula dengan unsur dakwah yang lembut namun bermakna.

Panel kedua, Muhammad Arash Adha bin Abd Latiff mengulas buku bertajuk Perang Dunia Kedua hasil tulisan Adam Lenin yang diterbitkan pada tahun 2022. Kandungan buku Perang Dunia Kedua menceritakan secara ringkas bagaimana perang besar antara tahun1939-1945 bermula, negara mana yang terlibat, pertempuran penting yang berlaku, serta kesan besar perang terhadap dunia termasuk kemusnahan, dan perubahan dunia moden hari ini.