Program Podcast UTM Library On Air Episod 1: Library XChange Hub telah berjaya dilaksanakan pada 31 Mac 2026 (Selasa) menerusi siaran eksklusif di platform Facebook dan YouTube UTM Library TV. Program ini mengangkat tema “Ilmu Bukan Sekadar Disimpan, Tetapi Dikongsi”, selaras dengan usaha perpustakaan dalam memperkasa budaya perkongsian ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
Episod pembukaan ini menampilkan tiga panel jemputan iaitu Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan; Puan Nurrull Huda Abdul Wahid, Pustakawan Kanan; serta Encik Shaharudin Ali, Pembantu Pustakawan Jabatan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Ketiga-tiga panel merupakan individu yang terlibat secara langsung dan menjadi tulang belakang kepada pelaksanaan projek Library XChange Hub. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Sharifah Radhiah Syed Azman selaku hos program.

Perbincangan dalam episod ini memfokuskan kepada topik transformasi perpustakaan melalui pengenalan Library XChange Hub, iaitu sebuah ruang inovatif baharu di Perpustakaan UTM Kuala Lumpur yang direka sebagai hab ilmu, kreativiti dan keterhubungan komuniti. Ruang ini diinspirasikan daripada konsep The Last Word Community Hub @ The British Library dan mengetengahkan pendekatan New Generation of Library yang menggabungkan teknologi, realiti maya (VR) serta elemen kolaboratif dalam menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan inovasi digital.
Menurut Puan Nik Masriza Zakaria selaku Ketua Projek XChange Hub, perpustakaan sentiasa berusaha mengubah persepsi masyarakat terhadap fungsi perpustakaan yang kini semakin berevolusi melalui penambahbaikan ruang dan perkhidmatan digital. Beliau menyifatkan projek XChange Hub sebagai satu titik perubahan yang memberi impak besar dalam usaha merancakkan transformasi perpustakaan serta meningkatkan kesedaran pengguna terhadap peranan baharu perpustakaan. Idea penubuhan XChange Hub tercetus hasil penyertaan beliau dalam program kepimpinan pada tahun 2024, yang turut membuka ruang inspirasi selepas lawatan ke The Last Word Community Hub @ The British Library, salah sebuah perpustakaan nasional terunggul di United Kingdom.

Sementara itu, Puan Nurrull Huda Abdul Wahid selaku penyelaras penubuhan Library XChange Hub berkongsi bahawa cabaran awal yang dihadapi adalah apabila diberi amanah untuk membangunkan satu inisiatif baharu yang memerlukan perancangan strategik dan pembentukan pasukan khas (taskforce). Beliau menjelaskan bahawa pembangunan Library XChange Hub terbahagi kepada dua komponen utama, iaitu pengisian ruang dan pengisian program.

Dari sudut teknikal dan logistik pula, Encik Shaharudin Ali menjelaskan bahawa cabaran utama melibatkan peruntukan serta susun atur ruang. Beliau memaklumkan bahawa XChange Hub telah dibahagikan kepada tiga seksyen utama, iaitu ruang komuniti, ruang PS5, dan ruang live streaming. Susun atur ini dirancang secara teliti melalui perbincangan bersama ahli projek bagi memastikan ruang yang tersedia dapat dimanfaatkan secara optimum.

Secara keseluruhannya, konsep Library XChange Hub dibangunkan dengan matlamat untuk memberi nilai akademik dalam suasana yang lebih terbuka, fleksibel dan mesra komuniti. Ruang ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang perbincangan, ruang pembelajaran berskala kecil, penganjuran program komuniti, serta display board yang memaparkan buku-buku berkaitan program, hasil aktiviti yang dijalankan, maklumat sumber perpustakaan, perkhidmatan perpustakaan dan maklum balas pengguna. Selain itu, kemudahan seperti ruang PS5 dan ruang live streaming turut disediakan selaras dengan trend semasa dan keperluan generasi pengguna masa kini.
Menurut Puan Nik Masriza Zakaria lagi, konsep utama yang ingin diterapkan melalui XChange Hub ialah pembelajaran sepanjang hayat, iaitu pembelajaran di universiti bukan sekadar tertumpu kepada program akademik semata-mata, tetapi turut merangkumi interaksi sosial, perkongsian ilmu, kemahiran dan pengalaman antara pelajar, komuniti, industri serta pengunjung daripada pelbagai latar belakang. Dalam konteks ini, pustakawan memainkan peranan sebagai fasilitator yang menyokong pelaksanaan program berbentuk kemahiran dan pembangunan diri.
Sebagai penutup, panel bersetuju bahawa penubuhan XChange Hub merupakan satu usaha yang amat baik dalam menarik minat pelajar, komuniti dan industri untuk mendekati perpustakaan. Mereka turut menzahirkan harapan agar inisiatif ini terus mendapat sokongan padu daripada pelajar, komuniti, industri dan pihak pengurusan tertinggi agar manfaat serta nilai yang dibawa dapat dirasai oleh semua.