Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-64, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan sebuah program Knowledge Sharing yang telah berlansung pada 30 Ogos 2021 pada jam 11.00 pagi. “Malaysia Merdeka: Sebuah Catatan Kenangan” merupakan tajuk yang dibawakan bersama panel jemputan khas iaitu Prof. Dr. Durrishah Idrus, Profesor Perhubungan dan Dasar Awam daripada Fakulti Teknologi Informatik Razak, UTM dan Puan Rohaidah Yon yang merupakan seorang guru tingkatan 6 di SMK Tun Ismail, Parit Raja, Batu Pahat, Johor. Sesi ini telah dikendalikan oleh Puan Khairulbahiyah Yaakub selaku moderator program.

Kedua-dua mereka merupakan seorang pendidik yang sentiasa bersemangat memperjuangkan pendidikan anak bangsa. Prof. Dr. Durrishah merupakan lulusan Sejarah dan Sejarah Ekonomi dan berpengalaman selama 37 tahun di dalam bidang Pendidikan. Manakala Puan Rohaidah Yon pula merupakan Guru Ikon Bahasa & Seni Budaya Peringkat  Kebangsaan 2020 dan berjaya memenangi pelbagai anugerah dalam penyertaan aktiviti pelajar terutamanya dalam menyemarakkan budaya merdeka dan cintakan tanah air.

Menyingkap kepada penghayatan kemerdekaan serta momen yang menjadi ingatan sehingga ke hari ini, Prof. Dr. Durrishah berkongsi tentang pengalamannya sewaktu kecil ketika seluruh negara menerima berita kematian Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Walaupun tidak mengenali secara dekat namun semangat juang Tun dalam membangunkan negara amat dikagumi. Tindakan Tun yang menyembunyikan penyakit yang dihidapinya semata-mata untuk menjaga kestabilan Malaysia pada ketika itu sangat mengesankan beliau. Puan Rohaidah Yon pula berkongsi tentang perjuangan pejuang negara terdahulu yang wajar  dikenang dalam memerdekakan tanah melayu. Selain itu, beliau menyeru pendengar agar menyanjung tinggi Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda.

Turut dibincangkan adalah perihal Rukun negara yang merupakan satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara.  Ia menjadi satu falsafah yang kita ikrarkan. Setiap satunya mempunyai makna dan kekuatan yang perlu ditafsirkan dengan semangat cintakan negara. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghayati setiap falsafah yang terkandung dalam Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembangaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan. Melaluinya rakyat berbilang bangsa di Malaysia dapat hidup dalam rukun dan harmoni.

Program-program semarak kemerdekaan perlu diteruskan bagi membangkitkan semangat kemerdekaan terutamanya kepada generasi muda melalui aktiviti yang melibatkan pelbagai kaum bermula dari peringkat sekolah lagi. Semangat kebersamaan dalam mencintai dan menghargai negara ini perlu dipupuk dan dirasai oleh semua peringkat umur. Tanggungjawab memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam apa juga aktiviti perlu diperluaskan. Kini, kita bukan lagi pada fasa memperkasakan bahasa melayu, teteapi mendaulatkannya sebagai bahasa kebangsaan.

Program diserikan lagi dengan sesi deklamasi sajak oleh kedua-dua panel yang bertajuk Ranah Pusaka Bertuah hasil nukilan Puan Rohaidah Yon dan Tanah Emas oleh Prof. Dr. Durrishah Idrus. Penutup kepada perkongsian ini telah diperdengarkan dengan bait-bait doa pertama kemerdekaan yang telah dibacakan oleh Mufti Pertama Negeri Sembilan pada Sambutan Hari Kemerdekaan Tanah Melayu 1957.

Share this :